Wani Ardy.

Jaka mundar-mandir. Rambutnya kembang bersawang. Seminggu tanpa shampu. Apa lagu tadi?? Sial-lah, aku lupa!
Gadis: Awak fikir apa?
Jaka: Tak ada apa.
Gadis: Mana boleh- cakaplah.
YA ALLAH, PEREMPUAN NI! rengus hati Jaka. Ini bad timing. Bad, bad timing. Ini waktu mengemas! Mengemas sambil berkarya. Sangat efektif, sebenarnya. Sayu membuah idea. Sayu jadi lagu. Mesti ingat semula! Baru tadi bikin. Cantik melodi liriknya. Mengulit-ulit di minda. Sekarang sudah lupa. Gadis datang- poof! Lesap semua idea.Argh, haram jadah!
Gadis: We’ve gotta talk…
Jaka: Saya tengah sibuk!
Gadis: Bukan awak sorang!
Senyap.
Gadis: Saya pun penat. Tadi saya seminar. Bosan, tahu tak? Bitchy participants around.Makan keropok je. Balik, minyak habis. Drive sambil menangis…
KAULAH PALING MALANG? Jaka jahat mulut. Tiba-tiba jahat. Tapi Jaka baik. Sebetulnya dia baik. Cuma ini salah. Ini bukan masanya.
Gadis: What about us?
Jaka: What about us?
Gadis: Awak nak pergi.
Jaka: Macam ni je lah.
Gadis: “Macam ni” apa?
Jaka: Awak nak apa? Saya masuk meminang?
Gadis: You’re very mean.
Jaka: Sorry, minta maaf. Saya… tak tahulah.
Gadis: Kita ni apa? Kita jadi apa?
Jaka: Saya tak tahu.
Gadis terduduk, mengeluh. Menung atas katil. Dilihat kiri kanan. Barang-barang bersepah. Pakaian Jaka merata. Baju, seluar, jaket. Tuala, sejadah, songkok. Minyak wangi, deodoran. Kasut, stokin, beg. Jaka mencangkung, melipat. Susun dalam bagasi. Esok pagi terbang. Malam baru berkemas. Biasalah, orang lelaki. Gadis tak suka. Benci semua ini. Benci situasi ini. Benci perasaan ini. Wajah Gadis mencair… seperti lilin panas.
ADUH, NANGIS LAGI.
Jaka: Awak tahu kan.. ini akan jadi? Baliklah ke Angah. Dia tunggu tu.
Gadis teresak-esak. Tersedu-sedu dia.
Gadis: Tapi saya nak-
Jaka: Saya tak nak. Saya tak boleh. Serious tak boleh.
Esakan Gadis mendatar. Mengalah perlahan-lahan. Pasrah semua harapan.
Jaka bangun, berdiri. Dia tarik Gadis. Tarik dengan lembut. Tangan genggam tangan. Iring Gadis ke pintu. Gadis sudah kelemahan. Tubuh sudah lembik. Muka comot, sembab. Pipi basah, lembab.
Jaka: Awak balik, ya?
Gadis kekeringan kata. Renung mata Jaka. Sedalam laut coklat. Setinggi langit vanilla. Renung tanpa bicara. Mulusnya kulit Gadis… Bola mata dia… Hitam rambut halusnya…
Berderau darah Jaka.
JANGAN SANGKUT LAGI. JANGAN SANGKUT LAGI. JANGAN SANGKUTLAH BABIIIIIIII.
Jiwa lelakinya mengecut. Telan sebak di tekak… Jaka mula bergenang.
Jaka: Awak balik, please? Saya nak packing.
Jaka mahu lari. Sebelum nampak hancur.
Gadis: Jangan lupa saya..
Suara Gadis gigil. Tanda punah dalamannya.
Gadis: Saya tunggu awak..
Jaka pandang saja. Tak membalas apa.
Satu nafas panjang.
Satu renungan kosong.
Dan Gadis berlalu.
YA ALLAH YA TUHANKU… APA AKU DAH BUAT…?
Jaka termangu kebodohan. Tercegat di pintu bilik. Fikir dan fikir.
INI SEMUA MIMPI. INI SEMUA MIMPI.
Dia pejam mata. Dia geleng kepala. Dia lenyapkan rasa.
Kembali ke realiti. Kembali masuk bilik. Kembali sambung mengemas.
Lagu tadi hilang. Hilang tak timbul. Hilang umpama Gadis.
Mata sengkang ke pagi.
Sempat tidur sedikit.
Dua jam cukuplah.
Selebihnya dalam perjalanan.
Subuh, teksi mengehon.
Assalamu’alaikum, rumah sunyi.
Membelah jalan lengang.
Lapangan terbang dingin.
Tunggu dan tunggu.
Masa pun tiba.
Terjaga dari bangku.
Siap-siap berangkat.
Passport setia tersisip.
Melangkah ke dalam pesawat.
Ramai juga pengembara.
Ramai namun keseorangan.
Jaka melabuh punggung.
Menyentuh tingkap sejuk.
Memegang telefon bimbit.
“Encik, matikan telefon.”
Ah, stewardess ni.
–1 new message
Angah:
Gadis dah balik. Entah lari mana. Tapi tak apalah. Janji dia selamat. Dah tak gaduh. Cuma frust sikitlah… kau tak jumpa. Nantilah aku kenalkan. Dia cantik, Long. Dia pandai masak. Macam arwah Mak. Long… selamat jalan! Datang sini lagi! Kau jaga diri. Baik-baik sana. Sampai, contact aku.
Senyum Jaka pahit. Tanda ranah dalamannya.
Dia matikan telefon.


Gila aku suka!